Cerpen nukilan saya (3)


Cerpen: Kejujuran Berlandaskan Kesetiaan

Jasmin memandu masuk ke kawasan kafe yang memang menjadi tempat persinggahannya setiap kali pulang dari kerja. Jasmin berjanji untuk minum bersama Aisyah teman sepejabatnya, tetapi dia terpaksa berganjak terlebih dahulu menanti Aisyah di kafe  memandangkan Aisyah masih lagi mempunyai urusan yang mesti diselesaikan dan berjanji untuk berjumpa dengan Jasmin di kafe.

 Kelihatan kawasan kafe sungguh sesak diasak pengunjungnya yang mungkin singgah untuk mengisi perut mahupun ada yang sekadar minum-minum santai mahu melepaskan penat seharian bekerja. Jasmin memilih meja yang hampir hujung kafe memandangkan meja dibahagian tengah dan hadapan telah pun dipenuhi. Layanan mesra yang diberikan menjadikan kafe ini sentiasa mencuri tumpuan pelangannya.

Fresh oren yang dipesan oleh Jasmin telah sedia disedup oleh Jasmin penuh kenikmatan. Rasa haus yang sedari tadi terus saja hilang . Suasana panas yang melanda dunia sebulan dua ini menjadikan badan cepat berasa penat dan sentiasa dahaga. 

“Apalah nak jadi dengan bumi kita ni?” Getus hati kecil Jasmin sendirian sambil tangannya mengipas-ngipas hampir bahagian tengkaknya. 

Beberapa kali Jasmin mengerling pandang jam tangannya, masih lagi menanti kehadiran Aisyah yang masih belum juga menampakkan wajahnya. 

“Assalamualaikum”. Sapa seorang lelaki yang tidak dikenali Jasmin.

Tersentak Jasmin seketika sebelum mendongak untuk melihat gerangan yang menghulur salam. Sekuntum senyuman manis dihulur untuk Jasmin ketika memandang lelaki tersebut sebelum Jasmin menyambut salamnya.

“Boleh saya duduk bersama”. Tanya lelaki tersebut kepada Jasmin.

“Uhmm..saya tengah tunggu kawan ni, mungkin kejap lagi dia sampai.” Terang Jasmin bersungguh. Mata Jasmin sekilas melilau ke segenap ceruk kawasan kedai mengharap Aisyah tiba ketika itu.

“Duduklah encik.” Tidak tergamak rasanya Jasmin untuk menolak permintaan lelaki tersebut lantaran melihat semua tempat duduk telah pun dipenuhi. 

***
            Pertemuan yang tidak disangka-sangka tanpa pernah bertemujanji beberapa kali di kafe menbibitkan sebuah perhubungan antara Jasmin dan Rahman. Lelaki yang pernah menegur Jasmin ketika Jasmin menunggu Aisyah di kafe tempoh hari itu sempat memperkenalkan dirinya kepada Jasmin dengan panggilan “Rahman”. Walaupun mereka hanya sempat berbual pendek, namun pertemuan yang tidak disangka itu merupakan titik permulaan persahabatan Jasmin dengan Rahman.

            Tersentak seketika Jasmin melihat Rahman  tiba-tiba muncul dihadapannya. Sudah beberapa hari Jasmin tidak melihat Rahman di kafe tempat mereka selalu bertemu itu. Terasa rindu pula Jasmin untuk berbual-bual dengan Rahman. Jasmin pegun mendengar sapaan seorang lelaki yang betul-betul dikenali suaranya itu. Melihat Rahman yang berdiri dihadapannya membunuh terus lamunan Jasmin. 
  
            “Dah lama sampai?.” Tanya Rahman melihat Jasmin yang tidak menyedari akan kehadirannya itu.

            “Tak adalah, baru je”. Balas Jasmin ringkas.

            “Jauh termenung, menungkan saya ke?”. Seloroh Rahman.

 Muka  Jasmin terus berubah merah padam mendengar kata-kata Rahman itu. Rahman bagaikan dapat membaca lamunannya tadi. Tersentak dengan pertanyaan itu, Jasmin hanya mendiamkan diri sahaja.

“Tak adalah, saya bergurau je tu, jangan marah ya.” Pujuk rahman kembali setelah melihat Jasmin tidak selesa dengan gurauannya tadi.

Jasmin dan Rahman membetulkan duduk masing-masing. Akhirnya Jasmin memulakan bicara.

“Uhmm..lama tak nampak? Awak ke mana? Ingatkan dah tak minum kat sini lagi.”  Soal Jasmin.

“Saya menyertai seminar di Negeri Sembilan selama seminggu, masakanlah saya boleh lupa kat kafe ni, kafe ni dah sebati dah dalam kehidupan saya. Orang yang selalu saya perhatikan pun dah mula saya rindu  seminggu saya ke seminar hari tu.” Usik Rahman selaras menjawab pertanyaan Jasmin. Bibirnya menggariskan senyuman manis yang menawan.

***

Rasa kepenatan dan sakit mata Jasmin meneliti butiran angka-angka yang mencecah berjuta-juta dalam fail diatas mejanya dan juga diskrin komputer yang dihadapnya sedari tiba dipejabat menghadirkan sedikit rasa jemu. Begitulah rutin harian Jasmin yang bekerja sebagai seorang pegawai akaun disalah sebuah bank yang terkenal di ibu kota.

 Jasmin bangkit dari kerusi empuknya dan menjengah sebentar keluar jendela pejabatnya untuk menghilangkan rasa lenguh dan sakit badannya walaupun pandangannya itu dihalang oleh cerminan besar dihadapannya. Dari bilik pejabat Jasmin itu, dia dapat melihat dengan jelas suasana bandaraya Kuala Lumpur yang telah sedia tahu sentiasa sibuk. Menembusi pandangan Jasmin ke luar jendela mengingatkan kembali Jasmin lewat pertemuannya dengan Rahman yang entah keberapa kali itu.

“Man, sebenarnya saya tak selesa dengan pertemuan kita sebegini. Entah apalah pandangan orang, tentunya awak ni dah berumahtangga. Saya tak mahu nanti dituduh perosak rumahtangga orang!”. Jelas Jasmin yang memang tidak selesa memikirkan status dirinya yang digelar andartu itu yang sentiasa dilihat orang berbual-bual dengan Rahman bagaikan bertemujanji.

“Kenapa awak nak rasa macam tu pulak? Untuk pengetahuan awak memang saya dah berumahtangga dan juga bapa kepada dua orang putera”. Jelas Rahman.

“Apa?, habistu, awak tak rasa bersalah pada isteri dan anak-anak awak ke apabila duduk berdua-duaan dengan saya seperti sekarang ni?, kalaulah dilihat orang yang mengenali awak dan keluarga, takkah nanti menimbulkan fitnah besar?.”

 Nada Jasmin sedikit tinggi timbul daripada rasa marahnya memikirkan Rahman yang seolah-olah tidak mengambil berat mengenai perkara itu. Hal-hal yang seumpama inilah yang membuatkan diri Jasmin takut untuk mendirikan rumahtangga sehingga umurnya sekarang sudah hampir ingin mencecah 40-an. Kalau nak diikutkan rasa marahnya, ingin sahaja rasanya kakinya melangkah pergi meninggalkan Rahman biar terkial-kial  di meja keseorangan.

Jasmin menarik muka masam dan memalingkan wajahnya kearah pandangan lain. Rasa geram menerpa serta-merta menatap muka Rahman.

“Cubalah bersabar Min, saya belum lagi habiskan kata-kata saya. Memanglah 20 tahun dulu, itulah status saya. Tetapi tidak sekarang, saya seorang duda, isteri saya telah lama tidak wujud dalam hidup saya, kedua-dua orang anak saya pula masing-masing sedang menuntut di IPTA”. Jelas Rahman membetulkan tafsiran Jasmin. 

“Maafkan saya, entah kenapa saya tiba-tiba beremosi sangat”. Tutur Jasmin memohon maaf. Nadanya kesalnya datang menyerbu dirinya kerana terlalu emosi.

Rahman hanya mengangguk dan menyerup air kopi panas dari mulut cawan putih pelahan-lahan.

“Kalau tak keberatan, boleh saya tahu apa yang berlaku?.” Jasmin terus menyuakan soalan tersebut kepada Rahman walaupun tercalit rasa bersalah mengeluarkan soalan berupa demikian.

 Jasmin merasa seolah dirinya menyibuk urusan Rahman, tetapi dia sendiri tidak tahu mengapa perasaannya ingin benar-benar mengetahui perkara apa yang berlaku pada rumahtangga Rahman.

Jasmin sedih mendengar cerita-cerita daripada Rahman. Tidak pernah disangka oleh dirinya bahawa benar-benar wujud kisah rumahtangga yang musnah akibat kecurangan seorang isteri yang lari mengikut lelaki lain tanpa meninggalkan sebarang butir bicara putus yang pasti,  walaupun hampir 20 tahun mendirikan rumahtangga, bagi Rahman, itu masih belum tentu dapat menjamin kebahagiaan hingga ke akhir hayat. Begitulah situasi yang dihadapi oleh Rahman. Melihat kepada raut wajah Rahman ketika menceritakan kisah kehidupan rumahtangganya yang lalu. Sungguh sayu hati Jasmin memandangnya pada ketika itu.

Lamunan Jasmin kepada kisah Rahman terhenti apabila mendengar ketukan pintu bilik pejabatnya itu”. Melihat Aisyah yang menguak pintu itu melemparkan senyuman.

***

Sibuk dengan urusan dipejabat dalam dua minggu membataskan diri Jasmin untuk mengunjungi kafe kegemarannya itu. Bukan sahaja kafe yang dirinduinya, tetapi juga Rahman. Terbayang dengan jelas senyuman mekar terpancar diwajah Rahman saat berbual-bual bersama-sama Jasmin tanpa berbicara soal bekas isterinya itu. 

Hati Jasmin berbisik sendirian, “Adakah Rahman juga merasakan perkara yang sama seperti yang dia juga rasakan?.”

Jasmin sendiri buntu mencari jawapannya. Walaupun Rahman tidak pernah menyatakan perasaannya terhadap Jasmin, namun Jasmin dapat membaca hati dan perasaan Rahman yang juga menaruh minat terhadap dirinya. Tetapi mengapa Rahman tidak pernah mengutarakan perasaannya itu kepada Jasmin. Kadang-kadang Jasmin terfikir juga seolah dirinya sahaja yang berperasaan lebih kepada Rahman, sedangkan Rahman sebaliknya.

 Sikap Rahman  yang jujur dan suka bergurau membuatkan Jasmin begitu senang sekali apabila bersama dengannya. Makin lama hati Jasmin semakin menaruh perasaan yang lebih daripada perhubungan sebagai rakan terhadap Rahman. Namun dilemparkan jauh-jauh oleh Jasmin perasaan itu mengenangkan Rahman masih lagi tidak pernah melupakan bekas isterinya. Tidak mudah untuk melupakan pengkhianatan yang sememangnya amat sukar untuk diterima terutamanya apabila ianya dilakukukan oleh orang yang paling disayangi dan dicintai.

Bagi Jasmin, orang sebaik Rahman tidak layak untuk menerima dugaan sedemikian. Tetapi,  apakan daya kita sebagai manusia yang hanya merancang, sedangkan takdir  ketentuan hidup sudah tersurat indah di tangan yang Maha Berkuasa. Mungkin duka yang dirasai oleh Rahman suatu ketika dahulu akan diganti pula dengan kegembiraan yang tidak terjangka oleh Rahman suatu hari nanti.  

***

Petang itu, Jasmin meluangkan sedikit masa untuk singgah ke kafe dalam perjalanan pulang ke rumah, terasa rindu benar Jasmin akan kenikmatan air Fresh Oren di kafe tersebut. Langsung tidak terdetik di hati Jasmin bahawa persinggahannya ke kafe petang itu juga untuk bertemu Rahman. Namun demikian, segalanya sudah diatur dengan sempurna oleh-Nya. Jasmin tetap bertemu dengan Rahman dan mereka seperti kebiasaannya duduk semeja bersama-sama. Namun segala persoalan yang bermain difikiran Jasmin selama ini terjawab akhirnya.

Lama saya tak nampak awak Min, pergi outstation ke?. Tanya Rahman.

Jasmin hanya menggeleng seraya menjawab, “tak adalah. Tak sempat nak singgah  kafe, kebetulan dua tiga minggu ni sibuk sangat”. Balas Jasmin ikhlas.

“Ooo..begitu, ingatkan awak mengelak dari berjumpa dengan saya”. Duga Rahman.

“Tak adalah, kenapa saya mesti buat macam tu pulak?, kita kan kawan.” Jawab Jasmin ringkas.

“Min, saya sebenarnya ada benda nak bagi tahu awak dan saya harap awak tak marah dengan apa yang mahu saya perkatakan ini”. Rahman bagaikan teragak-agak untuk menuturkan bicara yang seterusnya.

“Apa dia Man, cakaplah, saya sedia mendengar.”Kelihatan tenang sahaja Jasmin berbicara saat itu, tetapi gelora dalam dirinya hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa berdebarnya Jasmin menanti apa yang ingin diperkatakan oleh Rahman.

“Sebenarnya…sebenarnya Min, saya dah jatuh hati dengan awak dan berniat untuk melamar awak menjadi permaisuri hidup saya. Tetapi saya terpaksa batalkan niat saya ni Min, sebab saya masih tidak dapat melupakan bekas isteri saya. Entah kenapa saya masih tidak dapat melupakannya dan berharap suatu hari nanti dia akan pulang kembali kepada saya. Saya tak mahu hanya jasad saya yang berkahwin dengan awak, sedangkan perasaan saya masih lagi pada bekas isteri saya. Saya tak mahu melukakan awak Min”. Sebak  Rahman ketika menuturkannya tapi masih jelas didengari Jasmin.

Sedang mata kedua-duanya telah mula ditakungi mutiara jernih yang sedia untuk gugur.

Jasmin bangun mencapai tas tangannya dan sempat mengucapkan “terima kasih” kapada Rahman di atas kesetiaan dan kejujurannya itu. 

Jasmin terus sahaja berlalu pergi tanpa berpaling lagi ke arah Rahman. Tidak sanggup Jasmin untuk terus menatap wajah Rahman disitu lagi, dia begitu kagum dengan Rahman yang begitu mulia hatinya di penuhi kejujuran, kesetiaannya kepada kenangan bersama bekas isterinya langsung  tidak pernah dinodainya walaupun pengkhianatan yang diterima olehnya. Mungkin sudah juga tersurat bahawa jodohnya dengan Rahman hanyalah sebagai kawan baik.

Rahman memandang Jasmin sehingga Jasmin hilang daripada pandangannya. Tertunduk lesu dirinya. 

Jasmin terus sahaja memandu keluar dari kawasan kafe.

Tiba-tiba Rahman dan seluruh pengunjung kafe tergaman mendengar dentuman kuat bagaikan berlaku satu kemalangan dasyhat berlaku datang dari arah jalan yang bertentangan dengan kafe.

Kalimat “Ya Allah.” meluncur terus dari mulut Rahman. 

Jasmin!!!...

***TAMAT***

          ”Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” [ At Tholaq :3]

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sejenak bersama penyair Leo A.W.S.

Kuatkan Hatiku Ya Allah..

Mak We koiii..