Cerpen nukilan saya (2)


Cerpen: Bukan Begitu Adikku
                                             

Pada pagi itu, kami sekeluarga menuju ke stesen bas untuk menyambut kepulangan Ina iaitu adik bongsuku yang hampir 3 bulan telah menyertai Program Latihan Khidmad Negara (PLKN) di Kulim, Kedah. Tepat jam 11.00 pagi, aku sekeluarga sampai di stesen bas Tanah Merah untuk menjemput Ina yang dijangka tiba jam 12.00 tengahari. Ketika sampai di stesen bas itu, aku dapat melihat ramai lagi ahli keluarga para pelatih PLKN yang lain tiba lebih awal dari keluargaku yang sungguh setia menunggu permata hati masing-masing yang sudah lama tidak ditemui tiba. Begitu juga dengan  ibu dan ayahku, melihat kepada riak wajah emak dan ayah, mereka sangat gembira  dan tidak sabar-sabar untuk berjumpa Ina, ayah sedari tiba tadi lagi berdiri tidak pernah lepas dari tadi memandang ke arah jalanraya yang menghubungkan stesen bas Tanah Merah dengan jalan utama bandar itu untuk bas-bas masuk mengambil dan menurunkan penumpang di stesen bas ini, sementara emak pula dari semalan lagi mengemas bilik Ina supaya Ina dapat tidur dengan lena dan selesa. Begitu juga dengan aku yang juga tidak sabar untuk berjumpa dengan Ina, adikku yang amat aku sayangi, kalau boleh malam ini mahu sahaja aku tidur bersama dengannya dan bercerita tentang semua perkara yang berlaku di rumah dan di kampung kami sepanjang Ina tiada disini.

Dari jauh lagi aku sudah dapat melihat deretan bas yang telah mula membarisi jalan untuk masuk ke stesen bas, deretan bas-bas yang telah masuk jelas manunjukkan bas yang membawa semua pelatih PLKN yang telah pun tamat latihan dengan pelbagai kisah suka dan duka.
“Mak, ayah tengok sana tu, Ina dah sampai dah.”

 Aku menudingkan jari telunjuk kiri kehadapan untuk menunjukkan Ina yang baru kelihatan turun dari bas kepada mak dan ayah yang masih tercari-cari kelibat Ina. “Mak, ayah, kakak” jerit Ina dari jauh sambil melambai-lambai tangannnya kearah kami dari celahan orang ramai dan kami membalasnya semula dengan penuh bersyukur dan gembira kerana Ina telah selamat sampai. Ina mematikan langkahnya dihadapan ayah dan emak sambil mencium tangan abah dan emak serta memeluk emak seeratnya.

“Ayah dan mak sihat?” Tanya Ina.

“Alhamdulillah..mak dan ayah sihat, ni mak Ina ni makin sihat bila dengar Ina nak pulang, makan pun tak selera tunggu Ina taw, tengok, badan pun dah kurus” usik abah. Emak memcubit lengan ayah kerana mengusikknya. Aku dan Ina hanya tersenyum melihat gelagat emak dan ayah yang sangat romantik walaupun sudah berusia. Betullah kata orang bahawa “cinta dan kasih-sayang memang tiada penghujungnya”. Kemudian Ina menyalami tanganku pula dan dengan lantas aku menarik bahu Ina rapat ke badanku, aku memelukknya dengan sungguh erat kerana aku sangat merinduinya. Ina membalas pelukan aku dengan mesranya. Setelah semua barang telah dimasukkan ke dalam kereta, kami terus beredar pulang meninggalkan stesen bas yang masih tidak lengang dengan pengunjungnya.

Kami berkumpul diruang tamu sambil mak membawa sepinggan limau yang telah siap dipotong diletakkan diatas meja sebagai pencuci mulut selepas siap makan malam. Memang menjadi kebiasaan dalam keluarga aku apabila selesai sahaja solat isyak berjemaah, makan malam bersama-sama, kami akan memenuhi ruang tamu untuk menonton televisyen sambil berbual-bual. Pada waktu inilah kami akan sama-sama berkongsi cerita dan sama-sama mencari jalan penyelesaian jikalau berhadapan dengan masalah. 

Namun keaadaan tiba-tiba menjadi berubah suasananya apabila Ina telah melontarkan satu kenyataan yang amat sukar untuk di percayai. Suasana rumah menjadi sepi seketika waktu dan jika ada yang kedengaran sekalipun hanyalah suara  cengkerik-cengkerik yang datang dari luar rumah dan suara pelakon dari televisyen yang masih terpasang.

Aku, ayah dan emak sangat terkejut mendengar kenyataan daripada Ina. Sungguh aku benar-benar tidak  percaya bahawa Ina yang melontarkan kata-kata itu yang.amat perit untuk ditelan.

 “Emak, ayah, Ina harap mak dan ayah tak membantah dengan apa yang Ina nak cakap ni”

“Apa dia sayang, cakaplah”.

“Ina nak kahwin!” 

“Apa? Ina nak kahwin? Dengan siapa? Ina sedar tak apa yang Ina sedang cakap ni? Perkara nikah kahwin ni jangan dibawa bergurau Ina”

“Tapi Ina tak bergurau mak, Ina betul-betul nak kahwin, nama lelaki tu Joe”.

Aku kenal sangat dengan nama budak lelaki tu, Ina pernah menceritakan kepada tentang Joe sewaktu kami berbual ditelefon sebulan lalu. Tapi pada masa tu Ina mengaku hanya berkawan sahaja dan tidak lebih dari itu. Namun sebagai seorang kakak, aku tidak berpuas hati dengan jawapan Ina dan sedikit sebanyak aku telah menyiasat latar belakang Joe, ternyata apa yang aku duga semuanya adalah betul. Joe bukan seorang lelaki yang baik. Apa tidaknya, aku pernah mendengar kisah bahawa Joe merupakan budak lelaki yang bermasalah, pernah dibuang sekolah kerana masalah disiplin selain dirinya yang suka berfoya-foya dan sering sahaja bertukar pasangan mengikut kemahuannya.

“Siapa? Joe..?” sampuk aku.

“Jangan jadi bodoh dan mudah ditipu lelaki lah Ina, kau belum kenal lagi siapa Joe yang sebenarnya, Ina tau tak siapa Joe sebenarnya? Kakak dah siasat latar belakang Joe tu, banyak perkara tak elok tentang dia tu”

“Kenapa dengan kakak ni? Suka-suka hati tuduh Joe macam tu”

“Bukan begitu Ina. Kakak bukannya nak tuduh, kakak memang dah siasat tentang Joe selepas Ina ceritakan pasal Joe pada kakak hari tu kan? Kakak dah tahu yang Joe tu bukan lelaki baik dan memang tidak layak untuk dibuat suami. Ina tahu tak yang Joe tu pernah dibuang sekolah kerana masalah disiplin dan suka bertukar pasangan. Lebih teruk dari itu lagi Ina, kakak Joe pulak pernah dipenjara kerana terlibat dengan masalah dadah. Tengok pun dah tahu Ina, Joe bukan berlatarbelakangkan orang baik. Takkan lelaki macam tu Ina nak  jadikan pasangan hidup?.”

“Kakak jangan nak reka-reka cerita kat depan mak dengan ayah, Ina kenallah siapa Joe tu kak, dia kekasih Ina!”

“Dah la tu kakak, Ina. Tak payah nak bertengkar. Ayah tak izinkan Ina kahwin, Ina masih muda tak patut  fikir pasal hal kahwin-kahwin ni. Banyak lagi perkara yang Ina mesti fikir untuk masa depan Ina. Tambah-tambah lagi bila ayah tahu yang Joe pulak bukan budak baik. Rosak masa depan kamu jika ayah dan mak benarkan kamu berkahwin dengan budak macam Joe tu. Dah la, pergi masuk tidur.”

“Tapi ayah.
.
“Ayah kata masuk bilik sekarang!!” nada ayah sedikit tinggi.

Ina terus sahaja bangun dari kerusi dan  berjalan meluru kebiliknya sambil menjeling  muka kearah emak, aku dan ayah sambil menghentak kakinya kelantai sebagai tanda protesnya kerana kemahuannya tidak dituruti. 

“Selamat pagi mak” sapa Ina dengan lembut.

“Selamat pagi sayang”.

Ina hanya menyapa emak sahaja walaupun aku juga berada di meja makan pada ketika itu, usahkan mahu menyapa, memandang mukaku pun langsung Ina tidak mahu. Sudah beberapa hari Ina bersikap begitu membuatkan aku berasa begitu jauh dengan Ina walaupun tinggal sebumbung serumah. Mungkin Ina bersikap sedemikian dengan aku disebabkan oleh hal yang berlaku malam itu. Tapi salahkah aku sebagai seorang kakak  untuk menasihati satu-satunya adikku yang aku sayang daripada menjadi  korban cinta. Mungkin Ina tidak berfikiran sama seperti apa yang aku fikirkan. Bukan begitu, adikku. Desus hati  kecilku sendiri. Pertanyaan Ina kepada emak mengejut dan memghentikan lamunan aku. 

“Emak, macam mana dengan hal Ina? Ina tak kira, Ina tetap dengan keputusan Ina yang Ina nak juga kahwin dengan Joe.”

“Kenapa ni nak, Ina tak fikir ke masa depan Ina kalau Ina berkahwin dalam usia muda begini? Emak takut nanti Ina, Joe yang kamu sayang sangat tu akan mensia-siakan masa depan kamu. Pada masa tu, kamu sudah tidak boleh lagi berpatah balik. Emak tak nak kamu menyesal di kemudian hari, emak sayangkan Ina sangat-sangat. ”

“Ina tak akan menyesallah mak, Ina betul-betul sayangkan Joe, Joe pun sama sayangkan Ina dan Ina yakin Ina akan bahagia dengan Joe, lagipun Joe dah berjanji untuk jaga Ina dengan baik, lebih baik daripada emak dan ayah jaga Ina.”

Aku sudah tidak mampu mengawal diri lagi. Kali ini Ina sudah terlebih bicaranya, kalau diikutkan hati, mahu sahaja aku menampar pipi Ina biar dia merasa kesakitan dan kekecewaan yang emak rasai untuk menelan kata-katanya sebentar tadi. Sungguh pandai Joe menabur janji kepada Ina sehingga Ina mampu menukarkan kasih-sayang seorang ibu dengan seorang kekasih. Aku dapat merasakan perasaan emak pada masa ini, pasti emak sungguh kecewa apabila mendengar kata-kata sedemikian keluar daripada mulut Ina sendiri..

“Ina!!, kamu jangan nak kurang ajar dengan emak, jaga sikit mulut Ina tu, ini ke  balasan Ina pada emak yang telah ajar dan didik Ina, tatang Ina dengan kasih-sayang sampai Ina sanggup menukar kasih sayang emak dengan lelaki yang tidak ada apa-apa ikatan dengan Ina. Sedarlah Ina sebelum terlambat.”

“Kakak dengan mak dengar sini baik-baik, Ina dengan Joe memang dah ada ikatan, kami dah pernah pun sama-sama terlanjur. Dah tak boleh nak patah balik dah kak, Ina memang sayangkan Joe dan tiada siapa dapat halang kami untuk bersama.”

“Ya Allah..dugaan apakah yang engkau datangkan kepada diriku ini Ya Allah sehingga aku tidak mampu untuk menghadapinya..” syahdu kedengaran suara emak mengungkapkankannya.
“Sabarlah mak, Tuhan tidak akan menguji umatnya tanpa sebarang hikmah disebaliknya.” Rayu aku pada mak..

Air mataku dan emak mulai membasahi pipi. Tubuh emak mulai kaku rebah dilantai selepas mendengar kata-kata yang tidak sanggup didengari oleh mana-mana ibu. Pengakuan yang berani dari Ina yang terlanjur dengan Joe benar-benar telah mematahkan hati seorang ibu yang telah memberi didikan agama kepada anak sejak dari kecil lagi. Aku sendiri juga bagaikan tidak percaya dengan apa yang telah Ina katakan. Namun di riak muka Ina langsung tidak menunjukkan rasa bersalah atas apa yang diungkapkannya. Melihat keadaan emak yang lemah sambil dipeluk oleh aku, langsung tidak dipedulikannya. Ina terus sahaja berlalu mengambil basikalnya keluar entah kemana. Kalaulah aku tiada imam, rasanya sudah lama Ina mati dicekik oleh aku. Sampainya hati Ina membuang keluarga sendiri demi seorang lelaki.
Ayah yang baru saja pulang dari menghadiri mesyuarat di bandar  terkejut melihat ibu yang lemah dan tiada bertenaga. Hanya tuhan yang tahu marahnya ayah setelah mengetahui apa yang telah berlaku dirumah sebentar tadi. Namun, kasih sayang seorang ibu tetap melampaui segalanya, emak telah melarang ayah terlebih dahulu daripada memarahi Ina apabila Ina pulang nanti kerana bimbang sesuatu yang lebih buruk akan berlaku pada Ina. Aku dapat melihat mulianya hati seorang ibu terhadap anak walaupun diri sendiri dilukai. Aku hanya mampu menitiskan air mata dan berdoa agar Ina kembali menjadi Ina yang aku kenal dahulu, gadis yang periang, anak dan juga adik yang baik serta sayang akan keluarga.
  Seusai sahaja solat subuh tadi, aku tidak tidur seperti biasa, sungguh susah untuk aku melelapkan mata sejak dari semalam lagi, hatiku berdebar-debar bagaikan ada sesuatu yang buruk bakal berlaku hari ini. Entah apalah lagi dugaan yang terpaksa diharungi oleh aku sekeluarga, bentak fikiranku sendiri. 

“Ya Allah….aku memohon kepada-Mu Ya Allah, lindungilah keluargaku dari segala bencana dan bahaya yang menimpa, hanya Engkau Tuhanku Yang Maha Berkuasa keatas semua ummat Mu, Aminn..” aku meraut kedua-belah tanganku ke muka.

Aku turun menyertai emak dan ayah yang sedang bersarapan di dapur, emak hanya termenung dan tidak makan bersama. Aku akui semenjak akhir-akhir ini, kesihatan emak sedikit terjejas, semakin kurus kerana banyak berfikir tentang masalah Ina.

“Kakak! kakak!” panggilan ayahku beberapa kali baru aku sedari.

“Ya ayah.”

“Ina mana?, tak panggil sarapan sekali.”

“Kakak dah panggil dah tadi ayah, tapi senyap saja tak bersahut, tak bangun lagi agaknya tu ayah.”
“Tak apa lah ayahnya, lagipun semalam saya tengok Ina tidur lewat, mungkin mengantuk la pagi ni tu,” sampuk mak.

“Kenapa pula Ina tidur lewat? Apa yang Ina buat ?..”

“Saya tengok Ina bercakap dengan telefon.”

Belum sempat ayah menghabiskan bicaranya. Tiba-tiba aku, ayah dan emak tersentak daripada perbualan kerana mendengar sesuatu benda berat jatuh menghempat lantai serta diikuti oleh suara Ina yang terpekik-pekik melolong. Terus sahaja semua berlari menuju kebilik Ina.

“Dummm…!!!”

“Astagfirullah hal Azim..apa pulak la yang Ina lakukan kali ini ni ayah”, kami semua terus meluru kebilik Ina, kelihatan Ina sedang mencampakkan semua bantal-bantalnya ke lantai  dan menyelerakkan katilnya, sebelah sisi katil kelihatan almari solek yang telah pun terhumban ke lantai sambil semua barang bertaburan. 

“Ina nak kahwin! Ina nak kahwin! Ina nak kahwin! Kenapa semua orang kat rumah ni tak faham apa yang Ina nak? Susah sangat ke apa yang Ina minta ni mak! Ayah!”. Ina kelihatan bagaikan orang sedang naik hantu yang sedang menggila.

“Sabar Ina, mengucap nak”,  emak cuba memujuk Ina supaya bertenang.

Ina menepis tangan emak dan berlari keluar memboloskan diri daripada aku dan ayah yang berdiri berhampiran pintu. Aku segera mengejar Ina diikuti oleh ayah dan mak. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa malunya peristiwa sebegini berlaku pada keluargaku. Mengejar  Ina yang sedang terpekik-pekik menyebut mahu berkahwin, hal ini menyedarkan beberapa orang jiranku yang berada di dalam rumah. Aku menolak Ina dari belakang membuatkan Ina jatuh ke atas jalan. Ayah dan mak yang termengah-mengah datang mendapatkan Ina. Ina bangun dan berdiri semula dalam keadaan lututnya yang sakit akibat jatuh ditolak aku.

Emak datang dan terus sahaja memeluk Ina, namun tanpa di duga, dengan sepenuh kekuatan Ina menolak badan emak yang memeluk tubuhnya sehingga emak jatuh ketepian jalan. Kepala emak terhantuk pada  batu besar yang berada berhampiran situ. Air merah mula mengalir membasahi kepala dan terus mengalir turun hingga ke leher emak. Aku dan ayah terus meluru  mendapatkan emak. Ina bungkam seketika, sejurus itu terus Ina berlari mendapatkan emak.

“Mak…maafkan Ina mak..Ina tak sengaja, Tak ada niat dihati Ina nak tolak mak tadi, maafkan Ina mak, maafkan Ina. Kenapa Ina buat macam ni”

Mak mengangkat tangannya yang lemah ke kepala Ina bagaikan memberi tanda maaf sambil dibibir emak terukir senyuman kelat…akhirnya tangan emak terus jatuh kaku lesu menyapa tanah kembali tanpa sempat berkata-kata.  Ina meraung sekuat hatinya.

                                                      *** TAMAT***

Sesungguhnya Allah telah berfirman:
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kau berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik baiknya. Jika salah seorang di antara kedua-duanya berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah kamu sekali-kali mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkan kepada mereka ucapan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah “wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua telah, mendidikku sewaktu masih kecil.” (al-Isra’: 23-24)



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kuatkan Hatiku Ya Allah..

Sejenak bersama penyair Leo A.W.S.

Mak We koiii..